• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Bajet 2023 : Jangan Biar Suri Rumah Terbeban

KUALA NERUS, 21 Februari - Kerajaan Persekutuan diharap mampu mengemukakan penyelesaian yang mampu mengembirakan hati seluruh rakyat khususnya suri rumah menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan iaitu menurunkan harga bahan mentah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Naisonal negeri, Hanafiah Mat berkata, perkara tersebut menjadi harapan golongan terbabit demi kelangsungan hidup.

"Saya berharap sangat perkara ini diberikan tumpuan kerana kalau harga barang tidak dapat diturunkan serta diselesaikan ia akan menjadi beban serta masalah kepada golongan ibu yang selama ini bertungkus lumus menyediakan masakan setiap hari.

"Jadi seluruh pengguna mengharapkan agar kerajaan campuran ini dapat memastikan kos barangan keperluan dapat dikurangkan dengan seberapa segera,"ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, selepas menyempurnakan Sambutan Terengganu Hijab Day 2023 bersama Ustaz Azhar Idrus bertempat di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, di sini semalam.

Dalam pada itu, Hanafiah berharap, Bajet 2023 yang akan dibentangkan nanti juga akan dapat menaikkan bantuan kewangan kepada golongan ibu tunggal.

"Selama ini kerajaan negeri telah memberikan sumbangan bantuan 'one-off' jadi saya mengharapkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dapat menaikkan bantuan bulanan kepada ibu tunggal.

"Manakala yang bekerjaya dalam bidang perniagaan saya mohon tambahkan lagi peruntukan tanpa faedah sebagaimana yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dimana setiap mereka boleh membuat pinjaman sehingga RM20,000," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut berharap agar kerajaan campuran hari ini menunaikan segala-janji manifesto yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Antarnya memansuhkan hutan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar, secara tidak langsung kebajikan ini akan memberikan kesenangan kepada seluruh rakyat," ujarnya.