• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

BAJET 2023: Kerajaan Negeri Peruntuk RM29.18 Juta Untuk Sektor Pertanian

KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM29.18 juta bagi melaksanakan pelbagai program dan projek untuk meningkatkan sektor pertanian di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata isu keselamatan makanan terutamanya aspek pengeluaran dan bekalan makanan adalah sangat penting untuk diberikan perhatian. 

Katanya, bagi subsektor tanaman, kerajaan negeri akan meneruskan projek pembangunan padi melibatkan penyelenggaraan tali air dan pemulihan kesuburan tanah sawah serta pembangunan infrastruktur tanah terbiar.

"Selain itu, infrastruktur kawasan luar jelapang padi terutama di Kampung Jelapang, Setiu juga akan dinaiktaraf secara berperingkat dengan peruntukan sehingga RM5 juta pada tahun hadapan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, 
kerajaan negeri juga akan mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) untuk golongan belia di Telaga Papan, Setiu di samping menaik taraf infrastruktur asas lima buah TKPM sedia ada. 

"Selain itu, pembangunan jalan pertanian dan Program CSR Tani juga akan diteruskan.

"Fokus subsektor ternakan pula ialah kepada pembangunan padang ragut di seluruh negeri, hub lembu sado, kambing tenusu dan Jurusuntik Permanian Beradas yang juga akan menjana peluang pekerjaan baharu khususnya untuk golongan belia," ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM150 kepada lebih 20,000 petani, penternak dan nelayan yang layak bagi menyokong sara hidup golongan ini.