• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

BAJET 2023: RM4.5 Juta Bagi Tingkatkan Industri Pelancongan

KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri memperuntukkan RM4.5 juta bagi memastikan industri pelancongan di Terengganu terus berkembang dan menarik lebih ramai pelancong.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ia bertujuan untuk  melaksanakan pelbagai program galakan pelancongan di negeri ini.

"Antaranya ialah program menjadikan Terengganu sebagai hub ‘edu-tourism’, penganjuran aktiviti air di sepanjang 
Sungai Terengganu dan penambahan produk rekreasi perkhemahan seperti pusat caravan. 

"Kerajaan negeri juga akan memperkenalkan Geran Pelancongan Darul Iman (GPDI) untuk penggiat pelancongan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak RM2 juta lagi diperuntukkan bagi memperkasa 
produk pelancongan di setiap daerah melibatkan kawasan ‘Community Based Tourism’ (CBT) dan pulau- pulau di negeri ini.

"Antaranya dengan menambah baik 
fasiliti bagi ‘day trip’ di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas sebagai Day Trip Centre. 

"Selain itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi menambah baik dan menjenamakan semula Kenyir Island Hopping yang bakal menjadi salah satu tarikan baharu," ujarnya.

Ahmad Samsuri juga berkata
sebagai penghargaan dan menyokong sara hidup lebih 1,500 orang pekerja industri pelancongan di negeri ini, 
 pemberian ‘one-off’ bernilai RM150 diberikan kepada yang layak.