• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

BAJET 2023: Suntikan Awal SUKMA 2024, Tour Gateh D’Tranung Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri memperuntukkan dana sebanyak RM14.5 juta bagi persediaan awal buat kontinjen SUKMA edisi 2024.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dana tersebut merupakan usaha kerajaan melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) persiapkan atlet.

“Tahniah juga di atas prestasi cemerlang atlet kita sehingga muncul sebagai naib juara keseluruhan SUKMA 2022 barubaru ini apabila berjaya merangkul 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa; melebihi sasaran awal hasil kesungguhan para atlet dan kontinjen kita.

“Bagi merealisasikan Kontinjen Terengganu muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA 2024, sebanyak RM14.5 juta diperuntukkan bagi persediaan.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menganjurkan kejohanan Sukan Terengganu (SUTERA) pada tahun hadapan dengan memilih Daerah Dungun sebagai tuan rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Belanjawan Terengganu 2023 Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempar Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Ahmad Samsuri turut menjelaskan peruntukan sebanyak RM600 ribu disediakan untuk meneruskan program berprestij dalam perlumbaan berbasikal jelajah Terengganu iaitu Tour Gateh D’Tranung.

Pembentangan Belanjawan bagi 2023 disempurnakan semalam berjumlah RM1.991 bilion berbanding RM1.657 bilion tahun lalu bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’.


Tag: