• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Bajet 2023: Terengganu Bakal Anjur Ijtimak Ulama Sedunia

KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri berhasrat untuk menganjurkan Ijtimak Ulama Sedunia pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sebanyak RM250 ribu diperuntukkan bagi merealisasikan program demikian.

“Alhamdulillah, jujur saya katakan bahawa terasa benar semaraknya program dakwah sepanjang tahun ini sesuai dengan pengisytiharannya sebagai Tahun Semarak Dakwah. 

“Banyak sekali aktiviti yang telah dilaksanakan antaranya Qiamullail Perdana, Kembara Dakwah, Selebriti Bersama Daie, Himpunan Daie Nusantara dan Karnival TMBS di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

”Bagi memantapkan kegiatan dakwah dan pelaksanaan syariah serta menyuburkan aktiviti keilmuan di negeri kita juga, kerajaan negeri akan menganjurkan ljtimak Ulama Sedunia dengan peruntukan sebanyak RM250 ribu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Belanjawan Terengganu 2023 Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempar Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Selain itu, Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM7 juta bagi komitmen kerajan membina dua premis baharu Mahkamah Syariah.

“Sebanyak RM5 juta bagi pembinaan premis baharu Mahkamah Tinggi Syariah Daerah Kemaman dan sebanyak RM2 juta lagi untuk kerja-kerja awal pembinaan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Setiu. 

“Selain itu, bilangan pegawai penguatkuasa syariah di setiap DUN juga akan ditambah bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan,” tambahnya.

Terdahulu, Terengganu membentangkan Belanjawan Negeri bagi 2023 berjumlah RM1.991 bilion dengan tema ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’.


Tag: