• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Bakal Cetus Fenomena, Ribuan Rakyat Berhimpun

KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Ribuan rakyat bakal berhimpun di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu Gong Badak Khamis ini bagi memeriahkan program Malam Terengganu Cinta Rasul yang akan mencetuskan fenomenanya yang tersendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, program itu bersempena dengan Sambutan Semarak Dakwah di Awal Muharram.

"Ini merupakan satu program kerajaan negeri yang dianjurkan melalui Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dengan kerjasama institusi pondok, maahad tahfiz dan juga sekolah-sekolah agama.

"Semua rakyat dijemput untuk hadir ke program ini untuk bersama-sama mengalunkan selawat juga bagi membangitkan perasaan rindu serta menanamkan perasaan cinta kepada Rasulullah SAW di mana inilah menjadi rahsia kehebatan orang yang ada di zaman dahulu.

"Juga melahirkan semangat bagi menjadi mata rantai bagi meneruskan perjuangan Rasul di malam cinta rasul itu nanti," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.

Program berkenaan akan turut disusuli munajat bagi memohon keberkatan dari Allah SWT agar terus memberkati negeri ini dan rakyatnya.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan khusus sepanjang program tersebut bermula jam 8.00 pagi sehingga 12.00 malam yang dimulakan dengan Bacaan Surah Yasin Perdana yang akan dipimpin oleh Qari negeri Terengganu, Abdul Hadi Che Abd Halim.

Kemudian akan disusuli dengan seminar penghayatan Hijrah oleh Pendakwah Selebriti, Ustazah Asmak Hussin, Ustazah Muzayyamah Abdulllah dan Motivator Terkenal, Bro Shah Kirit.

Pada sebelah petang pula pengunjung berpeluang untuk bersama-sama menadah kitab denan Pengerusi Persatuan Guru-Guru Pondok Terengganu, Tuan Guru Ustaz Raqim Annuria dan slot Daurah Kitab Bersama Daie.

Sebelah malanya seusai Program maal Hijrah Bersama Daie bersama Ustaz Haji Mat Esa Deraman 'Tokku Pasir Gudang', dan Solat Hajat Perdana majlis tersebut pada cara kemuncak akan berlangsung majlis perasmiannya yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kemuncak acara Malam Terengganu Cinta Rasul akan menampilkan Ustaz Azhar Idrus sebagai pentausiah bersama Habib Naerl Thohir, Tuan Guru Habib Syed Suhaimi, Tuan Guru Suplar, Tuan Guru Ustaz Raqim Annuria dan Pencetus Ummah (PU) Syed.

Manakala alunan selawat dan nasyid akan menampilkan kumpulan InTeam, Ustaz Ahmad Muzani (UAM) dan Qasidah Shoutul Muhibbin.

Orang ramai yang akan hadir diminta mengenakan tema pakaian pada malam tersbeut iaitu berjubah putih atau mengenakan pakaian yang bersesuain bagi memeriahkan malam berkenaan.