• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Bakal Pengantin Lemas Selamat Dikebumikan

KUALA LUMPUR, 28 Disember - Jenazah Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang lemas di Pantai Kelulut telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Batu Muda di sini sekitar jam 8.00 pagi tadi.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sebaik sahaja selesai urusan pengebumian, keluarga Allahyarham telah menghubunginya dan mengucapkan terima kasih atas keperihatinan yang ditunjukkan oleh Kerajaan negeri Terengganu.

"Keluarganya berbesar hati atas usaha kerajaan negeri dalam menguruskan urusan penghantaran jenazah serta proses mencari dan menyelamat mangsa.

"Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melalui Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang telah menguruskan segala urusan serta kos penghantaran jenazah, untuk memudahkan pengebumian jenazah Naim." jelasnya kepada UPDI hari ini.

Kata Nasaruddin, beberapa pimpinan kerajaan negeri juga turut menziarahi keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu semalam dan ketika proses mencari serta menyelamat mangsa beberapa hari lepas.

Menurutnya lagi, beliau juga sempat diberi penghormatan untuk mengimamkan solat jenazah arwah oleh ayah mangsa sebelum dibawa pulang ke Kuala Lumpur.

"Kita juga telah bersama-sama memberikan dorongan serta bantuan kepada keluarga mangsa bermula hari pertama sehingga hari mangsa dijumpai, serta ketika proses pengurusan jenazah dan sehingga jenazah selamat dikebumikan," tambahnya lagi.

Naim dilaporkan hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di Pantai Kelulut pada jam 6.40 petang beberapa hari lalu

Mangsa datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27.


Tag: