• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bakat, Pengorbanan Pelukis Tempatan Perlu Terus Dijulang

Oleh : Ahmad Fahmi Mokhtar

KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Bakat serta pengorbanan pelukis tempatan terutama yang lahir di negeri ini perlu dihargai lebih-lebih lagi dalam suasana COVID-19.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Terengganu, Mohd Adram Musa berkata, ini kerana usaha mereka cukup besar menterjemahkan sesuatu perkara menjadi menarik untuk tatapan umum.

"Sebelum ini mungkin kita hanya rasa tugas melukis ini mudah, namun sebenarnya ia tidak mudah bagi saya kerana ia memerlukan tahap kekreatifan yang tinggi.

"Oleh itu, semoga dengan pertemuan bersama pelukis hari ini ia menjadi pemula untuk kita terus mengangkat seni lukisan dan peranan pelukis di Terengganu.

"Jasa para pelukis sebenarnya cukup besar kepada masyarakat daripada sesuatu yang biasa, para pelukis boleh menjadikannya menarik.

"Selain memberikan peluang kepada pihak kerajaan untuk menjadikan seni lukisan sebagai produk pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis bersama Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer) di Bangunan Warisan, Jalan Tok Lam di sini hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, wakil daripada Pelukis Terengganu ada menyampaikan beberapa pandangan dan hasrat bagi meningkatkan lagi program dan kegiatan pelukis dalam mempromosikan Terengganu.  

Selain berdialog bersama pihak persatuan, Adram juga sempat melawat galeri seni dan menyerahkan sumbangan daripada Menteri Besar Terengganu.


Tag: