• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Bakul Makanan PEMULIH Parlimen Kuala Terengganu Mula Diagih

KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Sebanyak 100 bakul makanan di bawah program Program Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi Parlimen Kuala Terengganu mula diagihkan hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, melalui peruntukan RM300,000 yang diterimanya, sebanyak 3,000 bakul makanan dengan setiap satu bernilai RM100 disediakan untuk agihan.

"Kita baru terima barang agihan semalam dan ini lokasi dan agihan pertama yang dilaksanakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas agihan di Kondo Rakyat, Kuala Ibai, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Jelasnya, kesemua bakul makanan dijangka selesai diagihkan kepada semua golongan sasaran pada minggu ini.

"Di Kondo Rakyat terdapat seramai 685 keluarga, namun kita edar 100 dahulu dan selebihnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) lain.

"Selain melalui dana PEMULIH, bagi bantuan semua golongan B40 akan turut diusahakan oleh ADUN-ADUN supaya bantuan sampai kepada sasaran," katanya.

 

 


Tag: