• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bakul Makanan Pemulih Pelengkap BERKAT 3.0

KEMAMAN, 10 Julai - Program Makanan Pemulih menjadi pelengkap kepada Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) di negeri ini apabila turut menyasarkan golongan yang terjejas pendapatan dan mereka yang memerlukan bantuan ketika negara masih berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Berenjut, W.Razali Wan Mansor mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi bantuan itu.

"Baru-baru ini kami telah menerima hampir 250 bakul makanan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, jadi bantuan yang diterima hari ini boleh dijadikan sebagai tambahan kerana di kampung kami ini masih ramai yang terjejas pendapatan, tidak bekerja dan sebagainya.

"Jadi hari ini kami menerima 38 bakul makanan lagi. Insya-Allah akan kami sasarkan pada mereka yang betul-betul terkesan sepanjang PKP kali ini. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan negeri Terengganu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang telah memberikan bantuan ini kepada penduduk di kampung kami ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili kampungnya menerima sumbangan Bakul Makanan Pemulih yang diagihkan di Pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 1,000 bakul makanan yang mengandungi beras dan pelbagai barangan dapur dimana setiap bakul bernilai RM100 telah diagihkan kepada 30 JPKK bagi DUN Cukai.

Sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan oleh Parlimen Kemaman bagi menjayakan program pada hari ini. 


Tag: