• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Bakul Makanan Ringankan Beban Golongan Terkesan

HULU TERENGGANU, 11 Julai - Pemberian bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kata Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid.

Beliau berkata, inisiatif tersebut juga memberi tumpuan kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan.

Menurutnya, peruntukan RM300,000 yang diberikan kepada setiap ahli parlimen untuk program itu adalah langkah yang tepat pada masanya.

"Kita menyediakan 4,000 bakul makanan yang diagihkan kepada penduduk di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Berang, Ajil, Telemong dan Manir bermula hari ini.

"Pengagihan bermula di DUN Kuala Berang dan Ajil manakala kawasan Telemong dan Manir akan dibuat pada hari esok yang dijangkakan selesai dalam tempoh dua hari sahaja, "ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang di pekarangan Balai Raya Kampung Tajin di sini hari ini.

Turut hadir, ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.

Tambah beliau, jika masih ada pihak yang terkesan atau tercicir, boleh memaklumkan kepada pegawai parlimen atau penyelaras DUN untuk tindakan tanpa perlu mengisi borang.

Sementara itu, salah seorang penerima Abu Bakar Omar, 54,
berkata, bantuan berbentuk makanan yang diterima dapat membantu meringankan perbelanjaan harian yang terpaksa dikeluarkan pada ketika ini.

Bapa kepada sembilan anak yang hanya bergantung kepada kerja kampung menyifatkan keprihatinan pihak kerajaan adalah yang terbaik.

"Sehingga hari ini, tak putus-putus bantuan yang kami terima sama ada dari wakil rakyat, badan bukan kerajaan(NGO)dan agensi-agensi...rasanya dah lebih lima kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya.

Terdahulu, Program Bakul Makanan yang melibatkan peruntukan RM80 juta di bawah Pemulih untuk agihan bagi setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang telah mula disalurkan 1 Julai 2021