• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Bangkai Lembu Di Kuala Nerus Disyaki Diseludup

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - 11 bangkai lembu yang ditemui berulat di Sungai Lekar, Kuala Nerus pada 11 Julai lalu disyaki telah diseludup masuk ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Jabatan Veterinar negeri mengesyaki ia diseludup memandangkan belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan tentang kejadian terbabit.

"Punca kematian besar kemungkinan ia lemas kerana berhimpit-himpit semasa berada dalam kenderaan ketika diseludup melalui jalan laut, ketika di perairan ia telah diletakkan sekali dengan muatan yang sangat padat menyebabkan ia lemas dan kemudian dibuang begitu sahaja.

"Tiada orang yang bertanggungjawab kerana mereka menyedari telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Ujarnya lagi, suspek belum dikenalpasti dan kertas siasatan terhadap kes itu telah dibuka dan disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.