• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bangunan Utama Kuala Terengganu Dipasang Sistem Solar

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kuala Terengganu akan menjadi antara bandar raya terawal yang kesemua bangunan utamanya dilengkapi sistem solar apabila telah menandatangani perjanjian dengan Tesdec Green Energy SDN BHD.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata melalui perjanjian tersebut usaha pemasangan sistem solar di seluruh bangunan milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) negeri ini akan berjalan.

Katanya, langkah itu sekali gus akan menjadikan bandar raya itu rendah karbon.

"Usaha ini akan membantu mengurangkan kos elektrik MBKT, penggunaan tenaga bersumberkan solar ini bagi menyambut seruan kerajaan dalam mengalakkan penggunaan teknologi hijau sejajar dengan hasrat bagi menjadikan negeri ini sifar karbon pada tahun 2050.

"Di samping itu, pengembangan sektor tenaga berasaskan sumber ini sedikit sebanyak akan membantu kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu. Sebagai contoh, beberapa sektor bahagian solar akan muncul apabila penggunaan sistem solar di rumah rakyat akan disambut baik seperti bahagian pemasangan dan penyelenggaraan sistem solar," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Solar Rakyat Terengganu (SORAT) di bawah Skim Net Energy Metering 3.0 (NEM Rakyat), di Ruang Legar Utama, Kuala Terengganu City Centre (KTTC), di sini, kelmarin.

Antara hasrat program berkenaan adalah bagi mengalakkan rakyat di negeri ini memasang sistem solat di bumbung rumah dalam membantu penjimatan tenaga elektrik.

Wan Sukairi yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (TESDEC) berkata, dengan memperkenalkan program solar mampu milik itu TESDEC telah mencipta nama melalui anak syarikatnya Tesdec Services SDN BHD.

"Pengguna akan dapat menjimatkan kos elektrik sebanyak 90 peratus dengan ditawarkan kos pemasangan 10 hingga20 peratus lebih murah berbanding syarikat lain," ujarnya.


Tag: