• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Banjir: 22 PPS, Mangsa Di Terengganu Meningkat

KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (SPBN) memaklumkan, sehingga jam 8:00 malam ini, sebanyak 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan empat daerah negeri tersebut.

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan, daerah Kemaman menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan pembukaan 12 PPS melibatkan 162 keluarga dan seramai 581 mangsa.

Seterusnya, daerah Setiu membuka empat PPS dengan 54 keluarga melibatkan 154 mangsa terpaksa dipindahkan.

Besut dan Hulu Terengganu pula masing-masing telah membuka tiga PPS.

Bagaimanapun, jumlah mangsa dipindahkan di Hulu Terengganu meningkat daripada 351 mangsa (83 keluarga) kepada 413 mangsa (103 keluarga).

Manakala, di Besut mangsa dipindahkan berjumlah 89 orang (20 keluarga).

Menurut pihak SPBN, jumlah keseluruhan mangsa meningkat daripada 975 mangsa kepada 1237 mangsa dipindahkan dengan peningkatan daripada 15 PPS, pada jam enam petang tadi.

Banjir dijangka bertambah teruk berikutan keadaan hujan lebat berterusan.

Justeru itu, semua penduduk Terengganu dinasihatkan berwaspada dan bersedia dengan keperluan bagi menghadapi situasi banjir.