• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Banjir: 300 Kawasan Berisiko Di Terengganu

HULU TERENGGANU, 15 Disember - Sebanyak 300 kawasan daripada lapan daerah di Terengganu dikenal pasti sebagai ‘hostpot’ banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, kawasan berisiko itu ditentukan berdasarkan lokasi yang pernah mengalami banjir dan dianggap berisiko untuk berlaku pada masa akan datang.

"Dalam keadaan sekarang, semua balai dan anggota bomba sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan rondaan rutin dilakukan dari semasa ke semasa.

"Setakat ini, kekuatan seramai 833 anggota bomba bersama aset dan logistik untuk operasi pemindahan yang kita ada sudah memadai," katanya ketika meninjau keadaan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Kemat, di sini semalam.

Tambahnya, sebanyak 37 lokasi terutama melibatkan kawasan rendah dan berhampiran muara sungai turut dikenalpasti berisiko dilimpahi air sekiranya berlaku fenomena air pasang besar beserta hujan lebat.

Sementara itu, Md Hilman berkata, walaupun keadaan air sungai di Hulu Terengganu dilihat semakin menurun namun pihaknya tetap berada dalam bersiap sedia kerana kemungkinan paras air boleh kembali meningkat.

"Kita dapati mangsa banjir sekarang kejap naik kejap menurun, hujan tidak menentu sekarang. Oleh itu saya menasihati penduduk supaya berpindah ke PPS lebih awal sekiranya berlaku limpahan air," katanya.