• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Banjir : Beberapa Jalan Ditutup Kepada Semua Kenderaan

KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Beberapa laluan melibatkan lima daerah di Terengganu ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air berikutan hujan lebat beberapa hari lalu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan 8 pagi tadi berkata, bagi daerah Kemaman ia membabitkan Jalan Pelantoh (Kampung Pelantoh) yang dinaiki air sehingga 0.85 m serta Jalan Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas) yang ditenggelami air sedalam 0.80 m.

"Juga Jalan Air Putih (Masjid Kampung Tebak) dinaiki air sehingga 0.76 m, Jalan Air Putih (Exit Tol Chukai) 0.20 m, Jalan Air Putih (Kampung Dadong-Sawah Padi) 0.76 m," ujar kenyataan tersebut.

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan, laluan Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Duek) dan Jalan Jerteh- Keruak (Kampung Jerubun) masing-masing turut ditenggelami air sedalam 0.80 m.

"Di Setiu pula melibatkan laluan Jalan Pengkalan Merbau-Pelong (Kampung Seri Kenangan) yang dinaiki air sedalam 1.25 m.

"Manakala Jalan Tepus-Kuala Jengai ( Kampung Rantau Panjang) di Dungun pula ditenggelami air sedalam 0.76 m," ujarnya.

Tambah kenyataan itu, di Hulu Terengganu melibatkan laluan Jalan Simpang Gaung- Simpang Sungai Tong (Kampung Kuala Ping) 1.20 m dan Jalan Bukit Diman- Tersat (Kampung Pengkalan Ajal) 1.90 m.