• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir Besar Dijangka Landa Terengganu Dan Pahang

KUALA LUMPUR, 3 November - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)  kini bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan bagi berdepan bencana banjir besar terutama di negeri-negeri di Pantai Timur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai bulan ini hingga awal Januari 2022.

“Pihak kami meramalkan banjir besar akan melanda beberapa lokasi di Pahang dan Terengganu seperti yang berlaku tahun lalu.

“Antara lokasi yang diramal banjir termasuk di Maran dan Kuala Lipis di Pahang serta Kemaman, Terengganu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Khas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Siri 1/2021 di Markas Pasukan SMART, semalam.

Menurut beliau, banjir di Pahang tahun lalu adalah yang kedua terbesar selepas bencana banjir besar pada tahun 2014. 

Sehubungan dengan itu katanya, pihak Nadma sudah bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan jika situasi itu berulang kembali.