• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir Dijangka Boleh Berlaku Hari Ini, Esok

KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Terengganu, pada hari ini, esok dan hari berikutnya.

JPS, dalam kenyataan semalam, memaklumkan bahawa banjir boleh berlaku sekiranya hujan yang signifikan berterusan di lembangan Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Kemaman, Sungai Paka, Sungai Besut yang kesemuanya di Terengganu

Katanya, ramalan itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Mateorologi Malaysia dan hasil simulasi model ramalan banjir.

“Di Terengganu, beberapa kawasan berisiko banjir hari ini adalah daerah Setiu iaitu di Kampung Che Mohid, Sekolah Kebangsaan Kampong Besut dan kawasan sekitarnya mulai jam 5 petang.

"Manakala Kampung Permaisuri, Kampung Nyatoh dan kawasan sekitarnya bermula pada jam 8 malam," menurutnya dalam satu kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran di laman Facebook rasminya semalam.

Sementara itu, Jumaat ini, JPS meramalkan banjir akan berlaku di Dungun iaitu di sekitar Kampung Wa dan daerah Kemaman pula di sekitar Sungai Pinang bermula jam 8 pagi.

"Kejadian sama turut berlaku di kawasan daerah Besut, Rumah Pam Pelagat dan Daerah Paka di Kampung Luit serta kawasan sekitarnya bermula jam 7 malam.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan itu.

 


Tag: