• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Banjir Di Hulu Terengganu Makin Buruk, 2 PPS Dinaiki Air

HULU TERENGGANU, 27 Februari-- Situasi banjir di Hulu Terengganu menjadi semakin teruk apabila dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS)  turut dinaiki air awal pagi ini.

Dua pps berkenaan melibatkan penduduk Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh  menjadi cemas apabila dinaiki air pada 6.30 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Periuk, Abdul Rasek Ali berkata PPS di kampung itu yang menempatkan 315 mangsa sebenarnya telah ditutup pada 1 tengahari semalam dan penduduk telah pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya.

"Namun, air naik lagi pada tengah malam menyebabkan lapan penduduk (empat keluarga) bergegas semula untuk berlindung ke PPS.

"Terkejut apabila tengok air dah memenuhi ruang PPS," ujarnya.

Tambah beliau, kali ini air begitu deras menyebabkan penduduk kelam kabut untuk menyelamatkan diri malah ada yang lari sehelai sepinggang ke rumah jiran yang terletak di kawasan lebih tinggi di dua kampung tersebut.

Sehingga kini katanya, operasi menyelamat masih giat dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk kampung.