• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Banjir Di Jalan Hadapan JPJ Bukit Besi Diatasi



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 20 Ogos- Jalan hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi yang sering berlaku banjir apabila hujan lebat terutamanya musim tengkujuh telah diatasi dengan pembinaan jejari atau cabang kecil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Dungun.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya berterima kasih kepada usaha yang dilaksanakan jabatan berkenaan bagi memastikan tiada lagi takungan air yang menjadi punca air melimpah.

Menurut beliau, setiap tahun jalan yang menjadi laluan menghubungkan Bukit Besi, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), juga menjadi laluan alternatif ke Kuantan seringkali berlaku lintasan air menyebabkan kenderaan ringan tidak boleh dilalui dan ditutup.

"Syukur kerana aduan kita bermula semenjak setahun yang lepas kepada Jawatankuasa Tindakan Daerah Dungun telah diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak JPS.

"Lebih dari sepuluh jari atau cabang kecil dibina agar air dapat mengalir terus ke saluran utama dan tiada lagi berlaku takungan," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika melihat kerja-kerja mendalamkan parit dan membina jejari atau cabang air mengalir, semalam.

Jelasnya, projek berkenaan merupakan langkah segera yang diambil bagi menghadapi musim tengkujuh yang akan datang.

"Lagipun perkara ini telah lama berlarutan tanpa sebarang usaha yang diadakan sebelum ini dan telah menerima rungutan oramg ramai setiap kali berlakunya hujan lebat ataupun bila tibanya musim tengkujuh.

"Semoga ianya akan memberi kesejahteraan kepada penduduk dan juga kepada pengguna jalan raya ini," jelasnya


Tag: