• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Banjir Di Terengganu, 192 Mangsa Dipindahkan

KUALA TERENGGANU, 24 November - Seramai 192 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu apabila tiga daerah di negeri ini dilanda banjir berikutan hujan lebat malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sehingga jam 8 pagi ini, empat PPS telah diaktifkan bagi menempatkan 57 keluarga dari daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.

“Daerah Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 151 orang daripada 46 keluarga yang kini ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan Balai Raya Alor Damat.

“Di daerah Kuala Terengganu pula, seramai 15 mangsa melibatkan lima keluarga telah dipindahkan ke SK Chendering, sementara seramai 22 mangsa daripada enam keluarga telah ditempatkan di PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan, Dungun,” ujarnya.

Menurut beliau, kesemua mangsa mula dipindahkan secara berperingkat sejak malam tadi susulan hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan kediaman mereka dinaiki air.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa bersiap siaga termasuk melakukan pemantauan dari semasa ke samasa terutamanya di kawasan berisiko,” ujarnya.