• 25 Okt 2021 | 18 Rabiul Awal 1443

Banjir Di Terengganu Bertambah Teruk

KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila 2,410 mangsa daripada 655 keluarga dipindahkan ke 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga 10 malam ini berbanding 910 mangsa (238 keluarga) di 10 PPS setakat 3 petang kelmarin.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, banjir gelombang kelima di negeri ini bertambah teruk sekali gus menyebabkan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir di empat daerah negeri ini.

Katanya, hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang besar telah menyebabkan banjir mula merebak ke daerah Setiu dan Hulu Terengganu selain Kemaman dan Dungun.

“Kemaman kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,665 mangsa daripada 422 keluarga telah dipindahkan ke 16 PPS.

“Seramai 612 penduduk dari 186 keluarga pula telah berpindah ke lima PPS di Dungun,” katanya.

Selain itu katanya, di Hulu Terengganu, dua PPS dibuka bagi menempatkan 126 mangsa daripada 43 keluarga.

"Manakala, Sebuah PPS telah diaktifkan di Setiu dengan tujuh mangsa daripada empat keluarga sudah mula berpindah masuk."

Che Adam berkata, hujan lebat masih berterusan terutama di bahagian pedalaman Terengganu.