• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Banjir Di Terengganu Pulih, Semua Pusat Pemindahan Tutup

DUNGUN, 11 Januari – Banjir gelombang kelima di Terengganu pulih selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya kira-kira pukul 2 petang tadi.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, mangsa banjir terakhir yang menghuni PPS di Kemaman dan Dungun sudah dibenarkan pulang sebentar tadi.

“Semalam, dua PPS di Kemaman dan Dungun merekodkan data terakhir pada pagi tadi sebanyak 1,694 mangsa lagi.

“Banjir gelombang ini turut merekodkan data tertinggi mangsa dipindahkan sejak bermula musim banjir pada bulan November dengan hampir 14,000 ribu di seluruh negeri pada hari keenam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemu bual pemberita selepas tinjauan ombak di Pantai Teluk Lipat, Dungun, tengah hari tadi.

Tambah Che Adam, beliau menasihati penduduk supaya bersiap sedia, walaupun tiada jangkaan amaran cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Terutamanya mereka di kawasan hulu dan pedalaman dan kita sentiasa kemas kini data terbaharu dengan jabatan berkenaan.

“Tempoh amaran ombak laut dan angin kencang kini bertiup dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj sehingga 12 Januari manakala air pasang setinggi 2.7 meter direkodkan di Kuala Terengganu,” ujarnya.