• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir Di Terengganu Pulih Sepenuhnya

KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Gelombang banjir pertama di Terengganu pulih apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir  ditutup pada 12 tengah hari, hari ini.

Seramai 26 mangsa banjir daripada sembilan keluarga yang ditempatkan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol merupakan mangsa terakhir dibenarkan pulang sejak pagi tadi.

Berdasarkan rekod, kesemua mangsa banjir dari tiga buah kampung iaitu Kampung Bukit, Kampung Titian Baru dan Kampung Surau Panjang di Kuala Terengganu ditempatkan di PPS berkenaan yang mula dibuka Sabtu lalu.

Dalam pada itu, laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, paras air sungai di Terengganu turut menunjukkan trend penurunan apabila semua sungai kembali kepada paras normal.

Sebelum ini, empat sungai di negeri ini berada pada paras amaran manakala lima lagi berada pada paras waspada susulan hujan berterusan.

Terdahulu, gelombang pertama menyaksikan empat daerah di negeri ini terjejas apabila 224 mangsa daripada 75 keluarga di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dipindahkan ke 10 PPS.