• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Banjir, Dua PPS Dibuka Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kuala Terengganu susulan banjir di beberapa tempat di daerah ini akibat hujan lebat  dan  air pasang besar sejak semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terengganu berkata  dua PPS tersebut menempatkan 50 mangsa daripada 13 keluarga.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Cendering yang mula dibuka jam 7.15 pagi di sini menempatkan seramai 17 mangsa banjir daripada empat buah keluarga.

Manakala, seramai 33 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada pagi jumaat mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di Terengganu dan Kelantan bermula 9 hingga 10 Disember.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras air di tiga sungai kini melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu, Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan  Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu.