• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Banjir Gelombang Kelima Terengganu Makin Pulih

KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Banjir gelombang kelima di Terengganu yang melanda sejak Ahad lalu beransur pulih.

Sehingga jam 4 petang tadi, seramai 6,613 mangsa ditempatkan di 22 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah negeri ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A Rahman berkata, ia membabitkan 1,612 keluarga di Kemaman dan Dungun. 

"Setakat ini, masih terdapat seramai 6,045 mangsa daripada 1,416 keluarga ditempatkan di sebelas PPS di daerah Kemaman, manakala 568 mangsa daripada 151 keluarga juga masih ditempatkan di 11 PPS Dungun,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, cuaca semasa setakat hari ini mendung dan kadang kala hujan di beberapa tempat.

Terdahulu, banjir gelombang kelima yang melanda negeri ini pernah mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir melebihi 13,000 orang dengan daerah Kemaman paling teruk terjejas.