• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir Gelombang Ketiga Di Terengganu Pulih Sepenuhnya

KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Khamis minggu lalu kini  pulih sepenuhnya hari ini apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS)  terakhir di Kemaman ditutup secara rasmi pada 12 tengah hari.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, PPS pertama ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga pada 8.30 pagi tadi diikuti PPS terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor.

“Walaupun PPS tidak lagi beroperasi, namun pihak jawatankuasa bencana di setiap daerah masih dalam kesiapsiagaan menghadapi monsun Timur Laut.

“Pemantauan akan tetap dilakukan sepanjang Monsun Timur Laut yang berakhir pada Mac ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan ramalan, Terengganu dijangka menerima tiga hingga empat episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut bagi tempoh 2021 hingga 2022.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir sepenuhnya.