• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir Hulu Terengganu Makin Buruk, Lebih Seribu Mangsa Dipindahkan

HULU TERENGGANU, 18 Disember - Keadaan banjir di daerah ini makin buruk apabila lebih ramai mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat jam 6  petang pada Ahad , seramai 1185 orang daripada 349 keluarga ditempatkan di 25 PPS yang mula dibuka sejak jam 12 tengahari.

Ketua Polis Daerah, DSP Hasmerra Hassan, ia melibatkan beberapa kampung seperti  Kampung  Lubuk Periuk, Kampung Pereh, Kampung Cheting, Kampung Belukar Bukit, Kampung Kuala Ping, Kampung Pangkalan Ajal, Kampung Tengkawang dan beberapa  lokasi lain.

"Semua mangsa bencana banjir yang melibatkan perpindahan seramai (349) buah keluarga   berjaya dipindahkan ke (25) buah PPS yang telah ditetapkan dengan pantas  dan tiada sebarang kemalangan jiwa yang terjadi.

"Turut serta dalam pemantauan dan operasi menyelamat mangsa bencana banjir kali ini ialah Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), SMART Team dan Pasukan Sukarelawan (RELA),"  katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, tujuh jalan terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya  segera berpindah ke  PPS yang berdekatan  jika  kawasan yang didiami mengalami kenaikan aras air bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.