• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir : Kerajaan Negeri Prihatin Masalah Rakyat

KUALA TERENGGANU, 12 Disember – Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat dengan pelbagai persiapan dilakukan untuk membantu dalam menghadapi banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pihaknya telah melakukan pelbagai persiapan awal untuk mengurangkan risiko banjir.
 
Katanya, musim tengkujuh ini kebiasaannya akan berlaku sekurang-kurangnya tiga gelombang sehingga awal tahun hadapan.
 
“Setiap kali tiba musim ini juga, pihak kami akan memfokuskan tiga perkara bagi mengatasi masalah tersebut melalui peringkat sebelum, semasa dan selepas.
 
"Sebelumnya kami telah berusaha untuk membersihkan longkang, parit dan sebagainya untuk memudahkan laluan air," jelasnya.
 

 

Beliau berkata demikian selepas Tinjauan Mangsa Banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering pada hari ini.
 
Tambahnya lagi, perkara tersebut dilaksanakan sejak daripada awal tahun lagi.
 
Beliau berkata, ketika berlaku banjir pula pihaknya akan membimbing mangsa-mangsa dan penduduk setempat supaya menjaga keselamatan diri.
 
Di samping, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membantu mangsa banjir dari segi kesihatan, makan-minum dan sebagainya.
 
“Selepas berlaku banjir, pihak kami akan mengerahkan tenaga bagi membersihkan kediaman mangsa yang ditimpa banjir dan memberi kelengkapan yang sepatutnya kepada mereka.
 
“Kita usaha apa yang termampu dan kita doakan agar Allah SWT memelihara kita daripada musibah banjir ini,” ujarnya.

 

 

Tag: