• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Banjir : Langkap Masih Terkawal, Perlu Berjaga-jaga


Oleh : Ariss Alias dan Dzakaria Mohd Salleh

SETIU, 6 November 2018 - Beberapa kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dalam keadaan berjaga-jaga ekoran paras air Sungai Chalok dan Sungai Nerus, di sini yang mula naik akibat hujan berterusan sejak semalam.

Tinjauan media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kampung (Kg) Langkap mendapati siren amaran berbunyi kali pertama pada pagi dan penduduk membuat persiapan awal untuk berpindah sekiranya paras air Sungai Nerus terus naik.

Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, satu jambatan gantung perlu dibina bagi mengatasi masalah perhubungan yang terputus dan memudahkan penghantaran barangan bantuan banjir kepada penduduk.

"Jambatan ini perlu dibina kerana kejadian sama berulang setiap tahun yang menyukarkan pergerakan penduduk kampung," katanya lagi

Beliau berkata demikian ketika menyertai lawatan ke kawasan berisiko banjir di sekitar Langkap, petang ini.

Turut serta, pasukan penyelamat Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saluran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pejabat Daerah Setiu dan Majlis Daerah Setiu.


Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Langkap, Yazid Awang berkata, keadaan terkawal buat masa ini namun akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

Sementara itu,  jalan di Kg Tok Nandong, Pelong pula ditelenggami air dan terputus perhubungan sejak semalam apabila jambatan tenggelam akibat paras air Sungai Pelong yang meningkat.

Bagi Pengerusi MPKK Pelong, Yahya Mat Zain pula berharap pembinaan jambatan gantung ini akan menjadi kenyataan.

"Sudah lama saya dan penduduk kampung menunggu jambatan gantung ini, dengan perubahan kerajaan baharu semoga akan ada perubahan," katanya lagi.

Manakala di Kampung Bukit pula, jalan utama ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Jambatan Tok Nandong yang terputus sejak semalam.

Pengguna dinasihatkan menggunakan jalan altenatif melalui ladang milik TDM untuk ke Kampung Bukit, yang juga merupakan jalan pintas ke Kampung Sungai Las, Bukit Munduk, Alor Lek dan Bukit Aman.

Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof  turut mengucapkan terima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi negeri dan persekutuan yang bekerjasama erat dalam pengurusan bencana banjir.

"Bekalan barangan sudah ditempatkan di semua pusat pemindahan banjir dan agihan bantuan kepada mangsa akan dibuat secara adil," kata beliau lagi.



Tag: