Banjir, Penduduk Bersedia Berpindah Jika Air Makin Naik

HULU TERENGGANU, 9 Disember- Gelombang pertama banjir mula melanda daerah ini susulan hujan lebat sejak semalam.

Salah seorang penduduk Kampung Kepah, Che Wan Kelesom Che Wan Ahmad, 58, yang ditemui berkata, air mula naik sejak semalam menyebabkan rumahnya ditenggelami air kira-kira 0.5 meter.

"Saban tahun rumah mak cik akan dinaiki air sekiranya hujan lebat dan air sungai Kepah melimpah...pernah air naik sehingga 1.5 meter.

"Setakat tengahari ini, mak cik belum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi akan segera keluar jika air makin tinggi," ujarnya yang tinggal bersama anak saudaranya.

Sementara itu, hasil tinjauan mendapati lebih 10 kampung di  Hulu Terengganu mula dinaiki air susulan hujan lebat sejak semalam namun belum ada PPS yang dibuka.