• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir, PETRONAS Bantu 2,700 Keluarga Di Pantai Timur

KEMAMAN, 21 Disember –Sebanyak 2,700 keluarga yang terjejas banjir di tiga negeri Pantai Timur menerima sumbangan daripada Yayasan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menerusi Program Sentuhan Kasih Disaster Relief (SKDR) 2022. 

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha berterusan yang dijalankan oleh Yayasan di dalam usaha membantu mangsa banjir.

"Melalui pakej prihatin, setiap keluarga menerima sumbangan kelengkapan asas seperti air mineral, selimut, tuala mandi, peralatan mandian, ubat gigi dan berus gigi serta makanan.

"Sumbangan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga sementara mereka berada di PPS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


  
Sumbangan mangsa banjir Terengganu disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir Saiful Azmi Suhaili di dalam satu majlis ringkas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kemasek di sini. 

Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Farhan bin Abdul Wahab.

Sumbangan yang disampaikan melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tersebut turut disampaikan kepada kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 10 buah negeri yang terjejas banjir seluruh negara dengan kos hampir RM1 juta.

Terdahulu, M Ahmad Shazly berkata PETRONAS turut menyumbang 36 buah bot, 8,800 buah khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan di 14 negeri di seluruh negara.

Jelasnya, sumbangan itu sebagai tanda terima kasih atas komitmen yang diberikan pihak berkuasa negeri dalam usaha menyelamat mangsa banjir.

Tambah beliau lagi, Yayasan PETRONAS turut membantu penduduk di kawasan berisiko tinggi di Pekan Pahang dan Tumpat Kelantan melakukan persiapan yang lebih sistematik menghadapi banjir melalui Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM).