• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir : RM4.5 Juta Naik Taraf Parit Di Wakaf Mempelam

KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta bagi menaiktaraf sistem perparitan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam.

Projek menaiktaraf kepada longkang konkrit itu melibatkan Kampung (kg) Kubang Parit, Kg Gelugur Raja, Kg Tok Jembal, Kg Gelugur Kedai dan Kg Kubang Panjang.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek tersebut dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di sekitar kawasan berkenaan.

“Kita anggarkan peruntukan di peringkat kementerian sekitar RM4.5 juta bagi menyiapkan baki kerja sepanjang satu kilometer.

“Projek ini dijangka mengambil masa sekitar 12 bulan untuk disiapkan baki kerja perparitan di sini,” ujarnya dalam Lawatan Kerja ke Tapak Cadangan Projek terbabit di sini hari ini. 

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementeriannya kini sedang menyediakan langkah-langkah mitigasi akibat daripada perubahan iklim di seluruh negara.

“Fokus utama kita sekarang adalah amaran awal banjir, penambahbaikan ban dan sistem perparitan di kawasan yang sering terlibat banjir serta menaiktaraf pam di kawasan yang dikenalpasti.

“Sekarang kita akan dahulukan negeri-negeri yang sering berlaku banjir untuk dinaik taraf,” tambah beliau.


Tag: