• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir : Terengganu Sedia Hospital Sementara Di Semua Daerah

KUALA NERUS, 1 Oktober - Kerajaan negeri mengambil insiatif dengan menyediakan hospital sementara sebagai persiapan sekiranya berlaku kemungkinan banjir besar seperti yang diramal pada hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, selain mewujudkan hospital sementara di semua lapan daerah di negeri ini, kerajaan negeri juga telah membuat persiapan rapi dari segi bekalan makanan. 

Katanya, hospital sementara itu bagi memudahkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang mengalami masalah kesihatan mendapatkan rawatan awal daripada pasukan perubatan sebelum dibawa ke hospital besar.
 
"Selain bilik pengasingan untuk pesakit COVID-19, saya telah memaklumkan kepada semua Pegawai Daerah untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai dipilih sebagai lokasi hospital sementara itu untuk membolehkan pasukan perubatan memberi rawatan awal.

"Sebelum ini, kita pernah lakukannya di daerah Kemaman dan sangat berkesan mengurangkan kesesakan di hospital besar.

"Pasukan perubatan boleh memberi rawatan awal kepada mangsa-mangsa banjir yang tidak kritikal sementara pesakit dihantar ke hospital besar untuk memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik sepanjang bencana berlaku," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Sayyidatina Aishah 2022 dan pelancaran Dasar Wanita Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff.

Menurut Hanafiah, bekalan makanan dan barangan keperluan yang bakal diagihkan kepada mangsa banjir akan ditempatkan di pengkalan hadapan di seluruh negeri pada awal Oktober ini.