• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Banjir: UMT Tangguh Kuliah Sehingga Sabtu Ini

KUALA NERUS, 23 Disember- Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  menangguhkan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) di kampusnya hingga Sabtu ini susulan kejadian banjir kilat luar biasa yang melanda beberapa buah negeri.

Naib Canselornya, Prof Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, penangguhan itu berkuat kuasa seminggu bermula Ahad lalu bagi menzahirkan rasa prihatin dengan nasib yang menimpa warga IPTA yang terkesan dengan musibah yang berlaku.

"Kita faham ada pelajar yang berasal dari negeri-negeri yang terjejas banjir dan bersimpati atas nasib menimpa mereka. 

"Sehubungan itu, para pelajar dikecualikan daripada kuliah dan pembelajaran sepanjang tempoh bertenang dari 19 hingga 25 Disember ini bagi memberi ruang buat para pelajar yang terjejas banjir bertenang sepanjang tempoh mencabar ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Petugas Barisan Hadapan UMT di Dewan Sultan Mizan, di kampus itu semalam. 

Dalam majlis itu, lebih 300 barisan hadapan diraikan antaranya polis, bomba, petugas kesihatan, pengamal media dan kakitangan UMT. 

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, seramai 400 sukarelawan UMT digerakkan ke Selangor dan Pahang bagi membantu mangsa-mangsa banjir. 

Katanya, kumpulan sukarelawan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia itu dijadualkan berada tiga hari di negeri berkenaan bermula Sabtu ini. 

"Misi bantuan melibatkan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa yang dipenuhi lumpur.  Bagi fasa pertama ini, seramai 50 sukarelawan akan berkhidmat di Selangor dan Pahang," katanya.