• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bantuan Air Bersih Mula Disalurkan Di Dua Daerah Terjejas

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sudah mula menyalurkan bantuan bekalan air bersih kepada 28,700 pengguna yang terjejas susulan gangguan bekalan air kali kedua di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas mendapat bekalan air secukupnya, sebanyak 19 lori tangki yang beroperasi 24 jam sehari telah digerakkan, termasuk ke beberapa premis penting seperti pusat hemodialisis dan pusat kuarantin untuk pesakit COVID-19.

"Pembaikian paip pecah kali ini akan mengambil masa lebih kurang 20 hari dengan mengambil kira pelbagai faktor.

"Bagi memastikan orang awam mendapat bekalan air bersih sehingga proses selesai, SATU telah mula agihkan air bersih termasuk penghantaran lori tangki bergerak untuk mengisi air di tangki-tangki statik," ujarnya kepada pemberita di sidang media di pejabat SATU, hari ini.

Selain itu,katanya bagi menampung keperluan semasa dan memudahkan pengambilan air bersih, 200 tangki statik dan 86 pili paip telah disediakan di seluruh kawasan terlibat.

Terdahulu, SATU telah mengesan punca gangguan bekalan air di dasar Sungai Kuala Terengganu yang mendapati paip sama yang pecah pada lokasi berlainan berbanding kejadian pada awal Ogos lalu.