• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Bantuan Air Ditambah Hingga Bekalan Pulih Rabu Depan

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Pihak berwajib akan meningkatkan bantuan air kepada penduduk terjejas bekalan itu menerusi penambahan tangki air statik dan mudah alih.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, 40 unit tangki baharu akan diletakkan di setiap kampung di daerahnya.

“Kita juga akan menambah bekalan air di tangki mudah alih menerusi sukarelawan terlibat yang akan meronda di kawasan terjejas.

“Dua lori tangka Syarikat Air Terengganu (SATU) juga bergerak 24 jam bagi menambah bekalan air di tangki-tangki sedia ada.

“Pejabat Parlimen Kuala Nerus juga mengambil inisiatif menyewa dua lori tangki yang boleh memuatkan 40,000 liter air bagi setiap trip dengan kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC)," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pemulihan paip di Sungai Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.

Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap agar rakyat di dua daerah terkesan terus berdoa dan bersabar dalam menunggu kerja pembaikian selesai.

“Kita ada pasukan jurutera dan teknikal yang bagus, namun begitu, mereka perlu menghadapi cabaran arus deras dalam kedalaman sehingga 18 meter dalam usaha menyambung kembali sumber asas ini,” jelasnya lagi.