• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bantuan Banjir Kekal-Ismail Sabri

HULU TERENGGANU, 2 Mac - Bantuan banjir kekal kepada mangsa yang terjejas banjir sebagaimana diumumkan ketika gelombang pertama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mangsa banjir akan menerima bantuan sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah.

"Maksudnya selain wang ihsan RM1,000, mangsa banjir akan dapat bantuan membeli barangan keperluan rumah dan baiki kediaman, pembelian peralatan elektrik dan baik pulih kenderaan sebagaimana saya umum dulu.

"Kalau campur semua hampir RM10,000 dan perinciannya akan saya maklum nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Batu 23. 

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ismail Sabri yang tiba pada pukul 2.15 petang meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk mendengar taklimat mengenai situasi banjir di daerah itu, serta bertanya khabar mangsa banjir.

Dalam masa yang sama turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 75 ketua isi rumah yang berada di PPS berkenaan.

Terdapat 272 mangsa daripada 76 keluarga telah  ditempatkan di PPS berkenaan susulan kawasan kediaman mereka ditenggelami banjir.

Dalam kejadian banjir luar jangka yang melanda Terenganu baru-baru ini, Hulu Terengganu adalah antara kawasan yang terjejas akibat bencana itu