• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bantuan Banjir RM500 Disalur Sebelum 15 Januari

KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Kerajaan negeri memberi jaminan bantuan kecemasan sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas berikutan bencana banjir baru-baru ini akan dibuat sebelum 15 Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, bayaran itu akan diberikan kepada mangsa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Hanafiah berkata, kerajaan negeri melalui Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang diketuai Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman kini dalam proses akhir untuk mengemaskini data mangsa banjir yang terkesan.

"Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan negeri untuk bantuan kecemasan itu bergantung kepada data yang kini sedang dikemaskini.

"Saya sudah maklum kepada semua pegawai daerah supaya sebelum berakhir 30 Disember ini nama-nama kita akan angkat dan pembayaran boleh dibuat sebelum 15 Januari agar mangsa banjir dapat menerima bantuan disaat mereka benar-benar memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan ExxonMobil di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, Hanafiah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang meluluskan bantuan RM500 kepada mangsa banjir.

“Sementara itu mangsa banjir lumpur di Kemaman pula akan menerima bantuan kecemasan sekali bayaran daripada tabung dana khas berjumlah RM1,000 satu keluarga,” ujarnya.