• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Bantuan Khas Bazar Ramadan Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan memperuntukkan RM250 ribu dibawah  Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan (SPBAR) khusus untuk ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu yang berdaftar bagi tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, skim itu secara tidak langsung dapat membantu para peniaga meningkatkan modal dan memenuhi keperluan mereka sepanjang sebulan berniaga.

“Oleh itu, kita bersedia meneruskan  pinjaman jangka masa pendek dengan tempoh pembayaran pada bulan Syawal dengan kadar RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap ahli di bawah jaminan persatuan.

“Mereka boleh membuat permohonan daripada persatuan  bagi meringankan beban modal untuk memulakan perniagaan setelah kita umumkan kelak,”ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Tambah beliau, YPU yakin peniaga mampu membayarnya semula dalam tempoh tersebut kerana telah mendapat wang pusingan modal dan keuntungan hasil perniagaan sepanjang Ramadan.

“Berdasarkan rekod sebelum ini, kita dapati seratus peratus mereka yang menggunakan skim ini mampu membayar balik mengikut syarat yang telah ditetapan dan ia merupakan satu penunjuk yang baik,” ujar Mohd Nurkhuzaini lagi.

Justeru itu katanya, mereka yang berminat boleh menghubungi YPU atau Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu untuk maklumat lanjut,

Skim ini telah diperkenalkan pada tahun 2019 dengan peruntukan sebanyak RM160,500 disalurkan kepada 141 ahli persatuan pada tahun tersebut, namun ia dihentikan pada 2020 kerana tiada penganjuran bazar Ramadan berikutan pandemik COVID-19.