• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bantuan Melalui JPP Wujudkan Masalah Agihan Banjir

KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Kerajaan Terengganu melihat penyaluran bantuan banjir melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) akan menimbulkan masalah dari segi agihan bantuan yang sampai kepada mangsa-mangsa banjir.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengulas isu berkenaan, khuatir keputusan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim itu bakal mewujudkan masalah penyelarasan antara agensi kerajaan pusat dan negeri dalam proses menyalurkan bantuan terbabit.

"Kita faham bahawa untuk menguruskan mangsa banjir ada perkara yang memerlukan kerjasama agensi kerajaan pusat dan negeri, barulah keharmonian boleh wujud dan mangsa tidak bertindih dari segi penerimaan bantuan.

"Jadi, menyerahkan sepenuhnya kepada agensi kerajaan pusat dengan kami di peringkat negeri belum sepenuhnya pasti apa yang perlu diselaraskan dengan mereka, tentulah wujud kelemahan-kelemahan di situ.

"Pada saya,dari segi amalan kita yang lepas-lepas, ia tidak dilaksanakan begitu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Penaja TSG di Hotel Permai, semalam.

Jelasnya, apapun memang fokus kerajaan negeri ialah supaya masalah mangsa dapat diselesaikan segera.

"Sebolehnya, saya berharap diberikan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan secara bersama dengan agensi kerajaan pusat di sini. 

"Sebab apa, keputusan lain diambil itu, kena tanya kepada kerajaan pusat," katanya.

Beliau menambah, buat masa ini proses pemutihan sedang dilaksanakan di pelbagai peringkat sebelum bantuan banjir kerajaan negeri dapat diagihkan kepada mangsa banjir terlibat.

 


Tag: