• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Bantuan Pakaian Sekolah Akan Diagihkan Tujuh NGO Terengganu



KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Bantuan pakaian sekolah berjumlah RM858,000 akan diagihkan oleh tujuh buah badan bukan kerajaan (NGO) yang ada di negeri Terengganu kepada semua mangsa banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia adalah hasil sumbangan daripada Syarikat PV Power Engineering Sdn Bhd kepada NGO Generasi.

“NGO Generasi telah pun menerima sumbangan daripada sebuah syarikat iaitu PV Power Engineering Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat yang berpusat di negeri Johor tetapi pemiliknya adalah merupakan anak kepada peneroka Felda di negeri Terengganu.

“Syarikat beliau telah menyumbang kepada kita sebanyak RM858,000 dan kesemuanya telah pun kita agihkan kepada tujuh buah NGO yang ada di negeri Terengganu ini dalam bentuk barangan yang berupa pakaian sekolah yang insya-Allah akan diagihkan kepada semua mangsa banjir yang berada dalam negeri ini,” ujarnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian selepas Pelancaran Sukarelawan Bencana ‘Skuad 4X4’ di Perkarangan Wisma Darul Iman semalam.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut turun bersama-sama 88 orang sukarelawan, menyempurnakan majlis tersebut dan melepaskan sebanyak 17 buah kenderaan pacuan empat roda.

Menurut Ustaz Wan Sukairi lagi, tujuh buah NGO tersebut adalah GEN Terengganu, Yayasan Amal, PADU, Iman Care, Kumpulan Aktivis Media Indipenden (KAMI), Persatuan Asnaf Kuala Terengganu, dan Persatuan Hiliran Sejahtera.

Beliau berkata, walaupun sehari dua ini cuaca agak baik tetapi ia sebagai suatu persiapan untuk menghadapi musim persekolahan yang akan datang tidak lama lagi.


“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang telah pun menyumbang jumlah yang besar dan kita mengharapkan dengan jumlah sumbangan yang diberikan itu akan digunakan dengan sebaiknya.

“Pihak mereka yang terlibat banjir dan seumpamanya turut mendapat kemudahan daripada sumbangan  yang telah disampaikan,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata beliau, Kerajaan Negeri Terengganu berbesar hati dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuat amal bakti mengikuti jejak langkah baik yang telah pun ditunjukkan oleh syarikat yang menyumbang pada hari ini.

Beliau menambah, seramai 1,000 orang disasarkan menyertai program NGO 4X4 dan semua pasukan ataupun kelab-kelab yang ada dalam negeri diseru agar sama-sama mengikutinya.


Selain itu, kata beliau, pihak kerajaan menerusi Portfolio Pembangunan Belia, Sukan dan NGO berperanan mengumpulkan dan menggabungkan semua NGO yang berada di negeri Terengganu di bawah satu bumbung.

Justeru katanya, semua NGO yang ada adalah untuk menggerakkan kerja amal apabila berlaku sebarang bencana di negeri Terengganu.












Tag: