• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bantuan Persekolahan Dibayar Mulai 15 Disember



Kerajaan negeri akan mengagihkan bantuan pakaian sekolah untuk sesi persekolahan 2017 kepada 109,880 pelajar termasuk anak perantau bernilai kira-kira RM10,988,000 juta mulai  15 Disember ini.

Menteri Besar, Ahmad  Razif Abd Rahman berkata, pemberian tahunan itu merupakan antara usaha kerajaan negeri  bagi membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan untuk membeli kelengkapan sekolah.

Katanya,  keluarga  yang berpendapatan tidak melebihi  RM2,000 sebulan layak menerima bantuan itu dengan nilaian RM100 bagi setiap pelajar

“Bagi mereka yang mempunyai bilangan anak bersekolah yang ramai, bantuan dihadkan kepada dua orang sahaja untuk setiap keluarga.

“Pengagihan akan dibuat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui wakil rakyat atau Pegawai Pembangunan Parlimen di kawasan terlibat dan kita berharap dapat diselesaikan sebelum  masuk sesi persekolah ,” katanya.


Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, tahun ini, kerajaan negeri bekerjasama dengan beberapa pusat perniagaan dengan mengagihkan  baucer potongan harga antara 10 hingga 15 peratus kepada penerima untuk membeli  kelengkapan sekolah, termasuk pakaian,  buku dan alat tulis.

“Syarikat yang terlibat, Mydin Mall, Pusat Pakaian Hari-Hari, Kedai Kasut You, Din Brother, Kedai Buku Jalan Banggol, Nine Book Store, Zulfashah Book Service.


“Baucer itu juga boleh diguna pakai dirangkaian pusat perniagaan yang terlibat di luar Terengganu,”katanya.

Tag: