• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Bantuan Persekolahan Terima Reaksi Positif Ibu Bapa

KUALA TERENGGANU, 27 November – Hasil tinjauan sebahagian penerima Bantuan Persekolahan Tahun 2021 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk rata-rata menunjukkan respon yang amat positif terutamanya daripada golongan ibu bapa.

Kebanyakkan menyifatkan sumbangan tersebut mampu meringankan beban dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.

“Saya ada empat orang anak yang masih bersekolah dan dana ini membolehkan saya untuk membeli pakaian dan alatan persekolahan anak-anak, tanpa perlu risau kos seperti sebelum ini” kata Roslan Ali, 42, ketika ditemu bual pemberita.

 

Sementara itu, ibu kepada dua orang anak, Liza Ali, 39, merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan atas sumbangan permulaan persekolahan tersebut yang juga diberikan setiap tahun.

“Alhamdulillah, setiap tahun kami sekeluarga menerima dana ini, wang tunai sebanyak RM100 akan dimanfaatkan untuk perkakasan sekolah pada sesi baharu ini.

“Justeru, saya mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada pihak kerajaan atas bantuan yang diberikan ini,” kata Liza.

Seramai 2212 orang penerima telah menerima Bantuan Persekolahan Tahun 2021 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk semalam dalam satu majlis yang dirasmikan oleh ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. 

Jumlah penerima tersebut merupakan yang tertinggi dalam Parlimen Kuala Terengganu.