• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bantuan RM10 Ribu, RM1,000 Untuk Mangsa Banjir Terengganu - MB

KEMAMAN, 23 Disember - Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan peringkat awal bernilai RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir manakala keluarga yang terlibat dengan kehilangan nyawa akan diberi sumbangan bernilai RM10,000.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif kerajaan negeri itu akan membabitkan lebih 18,000 keluarga.

Katanya, sumbangan tersebut bagi meringankan beban rakyat yang berhadapan bencana banjir terburuk.

"RM10,000 peruntukan kerajaan negeri kepada setiap keluarga yang kehilangan ahli keluarga disebabkan bencana banjir.

"Di samping setiap KIR bagi mangsa yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) turut menerima RM1,000, setakat ini kita sedang meneliti rekod setiap mangsa sebelum bantuan tunai ini diagihkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika hadir mendengar taklimat pengurusan bencana banjir di Pejabat Daerah Kemaman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, bantuan-bantuan lain seperti membaiki rumah yang rosak, membina baru bagi kediaman musnah dan lain-lain kerosakan akan dilaksanakan oleh Kerajaan negeri secepat mungkin.

"Setakat ini penilaian penuh sedang dibuat, bantuan-bantuan tersebut akan kita laksanakan selepas ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan mana-mana agensi kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan untuk turut menghulurkan bantuan serta kerjasama dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

"Kita mempunyai Tabung Darul Iman (TDI) di bawah Kerajaan negeri jika mereka ingin menyerahkan sumbangan untuk diuruskan oleh Kerajaan negeri.

"Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas bantuan segera sebanyak RM 50 juta.

"Terima kasih juga kepada kerajaan Selangor atas sumbangan bantuan RM500,000, kerajaan Kedah RM200,000 serta Pahang menghulurkan bantuan RM150,000," ujarnya.

Sementara itu Hanafiah merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu yang meluluskan peruntukan segera.

"Ini menandakan beliau sangat prihatin dan mengambil cakna terhadap kesusahan serta penderitaan rakyat ketika menghadapi musibah banjir ini  insya-Allah ia akan dibayar dengan kadar segera," ujarnya.

 

 


Tag: