• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bantuan RM20,000 Bantu Rakyat Seberang Takir Terjejas Air

KUALA NERUS, 6 September - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim telah menyumbang cek berjumlah RM20,000 kepada Seberang Takir bagi membantu kerja menangani insiden air yang sedang berlaku sejak 23 Ogos lalu.

Katanya sumbangan tersebut sebagai kebersamaan dan mengurangkan beban masyarakat terjejas di kawasan tersebut.

“Walaupun berlaku di Kuala Nerus, sikap kita di Terengganu ini apa yang berlaku di parlimen lain pun turut diambil perhatian, prihatin oleh semua wakil rakyat.

“Gelombang pertama saya turun di Kem Batalion 9 Pasukan Gerakan Am dan gelombang kedua saya juga turun di Seberang Takir ini,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas melakukan tinjauan ke Bilik Gerakan Operasi di Dataran Drawbridge, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menyampaikan rasa terima kasih kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu atas sumbangan yang akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Tidak dinafikan, kita amat memerlukan bantuan daripada semua pihak termasuk kerajaan bagi melicinkan perjalanan kami bagi menyampaikan bekalan air.

“Seperti insiden pertama, jumlah mereka yang terjejas hampir 5,000 buah rumah dan semestinya memerlukan kos yang banyak, besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan Seberang Takir,” jelasnya.