• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bantuan RM200,000 Kepada Mangsa Ribut Di Kemaman

Hanafiah Mat

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200,000 bagi membaiki kediaman penduduk yang rosak dalam kejadian ribut di sekitar Kemaman semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, peruntukan tersebut disalurkan sebagai bantuan kepada penduduk yang terjejas dalam kejadian tersebut.

Katanya, pihaknya mengarahkan wakil penduduk di setiap kawasan yang terjejas untuk mengenal pasti kerosakan yang dialami mangsa.

"Antara bantuan yang diberikan ialah berupa atap, kayu dan beberapa barangan lain untuk membaiki kerosakan yang dialami.

"Kita bersimpati dengan kejadian yang menimpa penduduk dan selepas dari kejadian semalam, kita sudah pergi untuk memberikan bantuan awal dan mengambil data bagi setiap kerosakan yang dialami penduduk," katanya ketika dihubungi oleh Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan negeri berkata, pihaknya juga menggunakan khidmat beberapa orang tukang rumah untuk melakukan kerja pembaikian.

Tambahnya, kerja pembaikian bermula pagi tadi dengan peringkat awal melibatkan penggantian kayu dan atap rumah.

Katanya, kerja berkenaan sudah siap 70 peratus di beberapa kawasan dan ianya dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum Khamis ini.

"Bagi rumah yang rosak teruk, banyak kerja pembaikian yang perlu dilakukan seperti menggantikan kayu alang atap yang rosak sebelum atap dapat dinaikkan," katanya.

Justeru itu Hanafiah menasihatkan kepada penduduk yang rumahnya yang terjejas teruk supaya dapat bersabar sementara kerja pembaikian selesai.


Tag: