• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Bantuan Segera Disalur Kepada Mangsa Ribut Padang Setengge

HULU TERENGGANU, 7 Julai - Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera melalui peruntukan Tabung Darul Iman dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu lebih 80 penduduk yang terlibat dengan kejadian ribut di Padang Setengge, semalam.

Pegawai Daerah  merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli, melalui peruntukan tersebut, ia digunakan untuk pembaikian bagi rumah-rumah yang terkesan.

"Hari ini kita mulakan pasca pertama iaitu membersihan kawasan yang terlibat secara bergotong-royong dengan kerjasama pelbagai agensi, jabatan, badan bukan kerajaan dan parti.

"Kemudian membaik pulih kerosakan yang berlaku petang semalam melibatkan kemusnahan kepada atap rumah kebanyakannya," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Padang Setengge, hari ini.

Namun, katanya, jumlah kerugian belum dapat dipastikan, setakat ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Setengge, Sulaiman Ali berkata, kejadian ribut yang melanda kawasan perumahan berkenaan berlaku dalam sekelip mata.

“Ketika kejadian, saya baru sahaja selesai dalam proses pengagihan bakul makanan untuk mereka yang terkesan sepanjang tempoh 'total lockdown' .

"Masa tu hujan belum turun lagi tapi angin cukup kuat dan menerbangkan beberapa atap rumah dan semakin banyak rumah yang terlibat.

"Dua pokok besar tumbang depan mata dan mengejutkan sebab semua berlaku dalam beberapa minit sahaja," ujarnya ketika ditemui.

Menurut Sulaiman, sebaik sahaja keadaan tenang, beliau terus menghubungi pihak berkaitan untuk memaklumkan kejadian tersebut untuk tindakan seterusnya.

Dalam kejadian petang semalam, puluhan penduduk di perumahan Padang Setengge itu mengalami detik cemas apabila kawasan berkenaan dilanda ribut berserta hujan lebat menyebabkan rumah mereka mengalami kerosakan teruk selain beberapa batang pokok tumbang.

Kejadian ribut itu dikatakan  berlaku secara tiba-tiba dalam tempoh kira-kira sepuluh minit, namun menyebabkan lebih separuh  rumah penduduk mengalami kerosakan terutama pada bahagian atap.