• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bantuan Segera RM 2.79 Juta Bagi Membantu Masalah Air Berangan

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan Terengganu telah meluluskan bantuan segera sebanyak RM 2.79 juta bagi menghadapi krisis air Berangan.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejadian paip pecah di dasar sungai yang berlaku di lokasi yang berbeza dari sebelum ini telah menjejaskan bekalan air kepada rakyat di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Terengganu Incorporated (TI) bagi penyelesaian sementara bekalan air dipulihkan.

"Bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada SATU sebanyak RM1.04 juta akan disalurkan kepada semua 104 JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) yang terlibat bagi tujuan penyampaian bekalan air harian kepada semua 29,151 akaun pengguna.

"Bantuan ini akan disampaikan menerusi Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Ahmad Samsuri, kerajaan juga akan menyediakan bantuan CSR daripada SATU sebanyak RM500 ribu untuk pengurusan, logistik dan bekalan berkaitan di semua kawasan yang terlibat.

Bantuan itu akan disampaikan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Penyelaras mengikut jumlah penduduk dan pengguna di setiap kawasan

"Seterusnya, RM1.25 juta telah diperuntukkan untuk membekalkan air minuman kepada semua rumah terlibat.

"Kita juga akan memastikan bekalan air bersih akan dihantar dengan kekerapan yang sesuai bagi memastikan mereka dapat menikmati bekalan air," ujarnya.

"Jawatankuasa Siasatan masih membuat siasatan untuk kes pertama yang lalu dan saya mengarahkan agar terma siasatan dipanjangkan untuk kes yang kedua bagi merencanakan tindakan jangka masa panjang.

"Sebagaimana yang kita sedia maklum, pembinaan paip di dasar sungai berkenaan telah dibina pada tahun 2003 dan mula digunakan pada tahun 2006," katanya.


Tag: