• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bantuan Segera RM1.25 Juta Air Mineral Bermula Hari Ini

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Bantuan segera bernilai RM1.25 juta dalam bentuk air minuman kotak telah mula disalurkan hari ini hingga 10 hari akan datang di daerah ini dan Kuala Nerus.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kira-kira 14 buah lori treler digerakkan di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari pertama.

Katanya, setiap rumah yang terputus bekalan air akan menerima lima kotak air mineral, diagihkan secara berperingkat melalui Pusat Khidmat DUN, Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.

“Sebuah lori akan angkut kira-kira 1,400 karton air minuman, jadi keseluruhannya dalam lebih 19,000 karton bagi hari ini, kita jangkakan 100 buah trailer akan terlibat dalam kerja penyaluran ini,” jelasnya.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial (CSR) Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Terengganu Incorporated (TI) menyalurkan bantuan segera berjumlah RM2.79 juta.

“Diharapkan agar ia dapat beri kemudahan kepada penduduk terlibat,” katanya ketika ditemu bual selepas pelepasan bantuan air minuman di Kampung Losong Feri, pagi tadi.

Sementara itu, beliau turut mengulas tentang dua alternatif dalam menyelesaikan Krisis Air Berangan yang sedang giat diusahakan pihaknya.

“Pertama, kita baiki paip di dasar sungai, kedua kita mempercepatkan perjalanan mengaktifkan loji air di Bukit Berapit.

“Kita sedang menunggu peralatan seperti alat kawalan pam Variable Frequency Drive (VFD) yang berfungsi sebagai mengawal peraliran air kedalam dan luar loji, dijangka alat diimport luar ini akan tiba di pada 31 Ogos.

“Manakala bagi kaedah dan masa terperinci bagi kerja pembaikan paip pecah telah diperkemaskan hari ini, kita sedang berlumba-lumba untuk selesaikan,” katanya lagi.

Terdahulu, masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 150,000 penduduk di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka pulih sepenuhnya pada 12 September.